Kemaafan Semalam
POSTED ON: Friday, December 26, 2008 @ 9:57 PM | 0 comments
CERPENKEMAAFAN SEMALAM
Oleh
Nur Amaliah Abdul Jamal
Pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong
SITI Khalisa menghirup teh yang hangat sambil melemparkan pandangannya ke luar jendela. Kisah 18 tahun lalu masih lagi menghantui fikirannya.
Andai kisah semalam dapat berulang kembali, mungkin dia telah mempertimbangkan keputusannya dan mungkin dia akan lebih bahagia kini.
'Ibu, kenapa ibu termenung? Ibu ada masalah ke?'
Satu demi satu persoalan dilemparkan oleh Lia Alysha, satu-satunya anak gadis Siti Khalisa yang berusia 14 tahun. Dikerut-kerutkan dahinya tanda kerisauan melihat ibunya berkeadaan sedemikian.
Siti Khalisa merenung anaknya sayu. 'Tak ada apa-apalah. Lia jangan risau ya? Ibu ada perkara yang ibu nak beritahu Lia,' balasnya kembali.
'Perkara apa bu?' ujar Lia dengan nada bimbang.
'Kita akan berpindah Lia. Ibu telah ditukarkan tempat kerja. Ibu harap Lia faham,' kata Siti Khalisa tenang.
'Lia faham kehendak tugas ibu. Bila kita hendak berpindah?' ujar Lia dengan nada perlahan. Dia begitu sedih kerana harus berpisah dengan teman-temannya. Namun, apakan daya dia harus akur akan tugas ibunya.
'Minggu hadapan,' balas Siti Khalisa.
Siti Khalisa telah nekad dalam membuat keputusannya kali ini. Dia akan membina hidup baru di tempat yang baru. Kisah 18 tahun lalu mesti dilupakan biarpun begitu payah. Biarlah! Dia yakin yang dia tidak akan berpaling lagi.
Kini telah dua minggu semenjak Siti Khalisa dan Lia Alysha berpindah ke tempat tinggal baru. Walaupun pada mulanya amat kekok dengan keadaan sekelilingnya, namun Lia akhirnya dapat menyesuaikan diri. Dia telah pun mendapat teman-teman seperti Mira Idora dan Nazarul Farhan. Mereka bertiga telah menjadi amat rapat sehinggakan banyak aktiviti yang dilakukan bersama.
Pada suatu hari, mereka bertiga sedang mengulangkaji pelajaran di rumah Nazarul Farhan. Seketika kemudian, bunyi kereta Mercedes Puan Rosmah kedengaran.
'Tentu Mama sudah pulang,' detik hati kecil Nazarul Farhan.
Nazarul Farhan memperkenalkan teman-temannya kepada ibunya. Jelas kelihatan bahawa Puan Rosmah kurang senang apabila anaknya itu memperkenalkan Lia Alysha kepadanya.
Lia Alysha juga dapat merasakan bahawa Puan Rosmah kurang senang dengan kehadirannya di situ. Oleh itu, dia menghabiskan apa yang perlu dan terus meminta diri untuk pulang.
'Erm, Han, aku pulang dulu ya. Ada urusan yang hendak diselesaikan di rumah. Lagipun, aku tak mahu ibu aku risau. Kamu berdua teruskan dengan sesi ulangkaji ini O.K.?' kata Lia Alysha gugup. Dia takut jikalau Farhan mengesyaki apa-apa.
'Tak apalah kalau kau ada sesuatu yang penting untuk diselesaikan, silakan. Kalau kau masih tak faham, esok di sekolah kita bincangkan lagi topik ini, O.K.?' ujar Farhan. Segaris senyuman manis dilemparkan ke arah Lia.
'O.K.' balas Lia ringkas lalu bergegas untuk pulang.
Setelah sesi ulang kaji tamat, Puan Rosmah memanggil Farhan untuk berjumpa dengannya. Katanya ada sesuatu yang penting yang hendak diberitahu Farhan.
'Mama ingin Han berkawan dengan Mira sahaja. Mama tak suka Han kawan dengan Lia. Han belum lagi tahu siapa Lia yang sebenarnya, apa latar belakangnya. Mama tak suka!' bentak Puan Rosmah. Wajahnya masam mencuka. Tiada lagi senyuman manis yang menghiasi bibirnya itu.
'Apa maksud Mama? Han tak faham. Kenapa Mama tuduh Lia yang bukan-bukan? Kenapa ma?' tanya Farhan bertalu-talu. Ada nada tidak puas hati di suaranya ketika dia menghamburkan soalan-soalannya kepada Puan Rosmah.
'Entah apa-apa keturunan si Lia tu. Mama kenal sangat dengan ibunya. Nazarul Farhan! Dengar cakap mama! Jauhkan diri kamu dari Lia Alysha!' balas Puan Rosmah, tegas.
Setelah berkata demikian, dibiarkan Nazarul Farhan termangu-mangu di sofa sendirian. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukan.
Semenjak hari itu, Nazarul Farhan telah menjauhkan dirinya daripada Lia Alysha. Dia tahu bahawa gadis manis itu amat terluka. Lia pula keliru. Mengapa Nazarul Farhan menjauhkan diri daripadanya dengan tiba-tiba?
'Aku ada buat salah ke?' soalan itu telah ditanyakan kepada dirinya entah untuk kali ke berapa. Hendak ditanya kepada Mira, terasa malu pula. Lalu, dia hanya mendiamkan diri. Tiada gelak tawa dan kemesraan seperti dahulu. Masing-masing hanya diam membisu.
Melalui Mira, Lia telah mendapat tahu bahawa ibu Nazarul Farhan telah memberitahu anaknya itu untuk menjauhkan dirinya daripadanya. Tapi mengapa? Jawapan bagi persoalan itu yang diinginkannya.
Wajah Lia yang murung sejak akhir-akhir ini amat merisaukan Siti Khalisa. Lia Alysha telah menjadi semakin pendiam dan hanya menjawab apabila perlu.
'Lia ada masalah? Cuba beritahu ibu! Mungkin ibu dapat menolong,' kata Siti Khalisa sambil membelai-belai rambut anaknya. Bahu Lia telah diraih dalam dakapan seolah-olah menggalakkan anaknya untuk membuka isi hati yang sebak di dada.
'Lia cuma hairan mengapa Han jauhkan diri daripada Lia. Apa salah Lia bu?' tanya Lia. Mutiara-mutiara jernih mula membasahi pipinya.
'Maksud Lia, Nazarul Farhan? Sebenarnya, ibu rasa ibu tahu mengapa Han jauhkan diri daripada Lia. Ini tentu desakan ibunya. Ibu rasa ibu dapat mengagak apa sebabnya,' balas Siti Khalisa kembali.
Dia menarik nafas sebelum menyambung kata-katanya. Lia Alysha perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Dia bukan lagi budak hingusan seperti dahulu.
'Lia, sebenarnya Lia dan Han adalah adik beradik tiri. Puan Rosmah, ibu Farhan telah berkahwin dengan arwah ayah sebelum dia berkahwin dengan ibu. Ibu pun sebenarnya tidak tahu bahawa arwah ayah telah pun berkahwin sebelum ini. Sungguh Lia. Kalau ibu tahu yang arwah ayah telah pun berkahwin, ibu tidak akan berkahwin dengan ayah,' sambung Siti Khalisa.
Apabila suaminya itu meninggal dunia tiga tahun lalu, Siti Khalisa akhirnya terjumpa sijil pernikahan suaminya bersama Rosmah.
Akhirnya terluah juga kisah 18 tahun lalu kepada anak gadisnya yang seorang itu. Lia Alysha berasa begitu terperanjat mendengar apa yang disampaikan ibunya. Dia juga tidak menjangkakan keadaan menjadi sedemikian.
Di sekolah, Lia telah bersemuka dengan Nazarul Farhan dan menceritakan segala-galanya daripada mula hingga akhir.
Pada mulanya, memang agak sukar untuk Farhan mempercayainya malah dia juga telah menuduh Lia dan ibunya sebagai perampas kebahagiaan keluarganya. Namun, kini dia telah menerima hakikatnya.
'Han, Lia dan ibu berharap sangat untuk berjumpa dengan mama Han. Kami nak minta maaf kepada mama Han dan juga Han atas kejadian 18 tahun lalu itu. Lia harap sangat kita berdua dapat memainkan peranan untuk menjernihkan kembali keadaan. Lia tak mahu lihat ibu Lia dan mama Han bermasam muka. Lagipun, arwah ayah dah tak ada. Kita sebenarnya saling memerlukan Han,' kata Lia sayu.
Mutiara-mutiara yang ditahan akhirnya merembes keluar. Perasaan masing-masing ketika itu memang sukar untuk digambarkan.
Nazarul Farhan dan Lia Alysha telah bersepakat untuk menyatukan kembali hubungan antara Puan Rosmah dan Siti Khalisa.
Walaupun pada mulanya memang payah, namun berkat kesabaran dan doa kepada Allah swt, akhirnya Puan Rosmah dan Siti Khalisa berbaik-baik dan saling memaafi di antara satu sama lain.
Lia Alysha dan Nazarul Farhan antara yang paling gembira melihat ibu-ibu mereka berbaik-baik semula. Mereka berdua memang tidak sangka segala kejutan yang berlaku telah mengubah kehidupan diri mereka.
BIODATA PENULIS
NUR AMALIAH ABDUL JAMAL
14 tahun
Pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong
Hobi: Membaca novel Melayu dan menyanyi
Sumber inspirasi dalam bidang penulisan: Melihat apa saja yang berlaku di sekitaran
Tiga sebab saya terdorong menulis: Menulis memberi kepuasan kepada diri saya, saya dapat menjadi pelbagai watak selain diri saya dan saya dapat merehatkan dan menenangkan fikiran saya.
KOMEN PENGELOLA
KEKUATAN CERPEN
1. Jalan bahasa yang baik bagi penulis semuda 14 tahun.
2. Plot yang menarik dan disulami saspens di akhirnya.
APA YANG BOLEH DIPERBAIKI
1. Dari segi pemilihan peribahasa, penulis perlu hati-hati. Misalnya, sebelum karya ini disunting dikatakan Siti Khalisa memujuk anaknya untuk membuka pekung di dada. Peribahasa ini dirasakan tidak tepat kerana 'membuka pekung di dada' bererti mendedahkan keburukan diri dan mencari malu. Walhal, ia setakat meminta si anak mendedahkan perkara yang memenuhi benak sehingga merisaukannya.
2. Adakalanya unsur kebetulan dalam cerpen ini wajar dan sering dijadikan teknik bagi ramai penulis. Siti Khalisa berpindah ke suatu tempat untuk melupakan kenangan 18 tahun lalu tetapi, secara kebetulan, dia pula berpindah ke lokasi kediaman Puan Rosmah yang juga isteri pertama arwah suami Siti Khalisa. Mulalah konflik. Cuma, adakalanya kalau terlalu kerap dimainkan unsur kebetulan ini dalam cerpen, ia boleh menimbulkan rasa jenuh pembaca.
3. Konfliknya nampak mudah dihurai sebagai jalan pintas menamatkan cerpen. Kemungkinan boleh disisipkan bagaimana Puan Rosmah akhirnya dapat dilembutkan hatinya untuk menerima Siti Khalisa dan Lia Alysha sedangkan pada mulanya beliau keberatan berbaik sangka.
alrite. that's it. hayatilah cerita antara watak-watak yang bernama Lia Alysha, Mira Idora, Nazarul Farhan!! enjoyyy!!! :)
Blogging to express, not to impress.