Nur Zulaikha

POSTED ON: Friday, November 20, 2009 @ 7:33 PM | 0 comments

For those who missed out the Sastera Remaja on Nur Zulaikha. Here is the story. Enjoy!

Nur Zulaikha

Oleh
Nur Amaliah Abdul Jamal & Nurul Akhyar BMS
Pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong

'No, Justin! I will never allow you to do it! Never!

'How could I ever face everyone else? Mama malu Justin! Mama malu!'

Angeline membentak dengan marah. Wajahnya masam mencuka. Matanya galak menikam wajah Justin. Justin, anak bongsu kesayangannya. Namun kini, anak itu juga yang mengecewakannya. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu ingin mengubah pegangan agamanya. Katanya, dirinya telah diisi dengan Nur Islam.

'Mama, Islam tak akan mengubah diri Justin. Biarpun agama membatas kita, tapi I will still be your son! Nothing can ever change that fact Ma!' ujar Justin mohon pengertian.

JATUH CINTA

Dia akui jatuh cinta terhadap Islam setelah mendalaminya beberapa bulan ini. Barulah dia sedar bahawa dia telah memperolehi ketenangan yang dicarinya selama ini.

'Justin! Why can't you even try to understand me? Kenapa Justin tiba-tiba berubah jadi macam ini? Mama yakin bahawa ada seseorang yang telah mengubah diri Justin. Siapa dia Justin?

'I am really disappointed in you! Mama tak tahu mana Mama akan sorok muka Mama bila berdepan dengan Father James?' balas Angeline kembali. Wajahnya dipalingkan.

Kini, barulah dia tahu mengapa anaknya liat benar kalau diajak bersembahyang. Rupa-rupanya, hatinya telah diisi dengan Nur Islam. Dia benar-benar kecewa dengan anaknya itu. Kali ini, keputusannya muktamad. Justin harus membuat pilihan antara dirinya ataupun Islam.

'Mama!' kata-kata yang ingin dihamburkan kepada ibunya tersekat di kerongkong. Dia sudah tidak berdaya lagi. Namun, dia tetap akan memilih Islam.

'Mama, Justin mohon maaf namun Justin tetap memilih Islam,' bisik hati kecilnya.

Dia yakin bahawa suatu hari nanti ibunya akan memahami jua keputusannya itu. Ayah dan adiknya bersikap terbuka terhadap keputusannya kerana mereka tahu bahawa Justin kini sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri terhadap masa depannya. Hanya ibunya sahaja yang masih belum terbuka hatinya untuk memahami.

Kini, telah tujuh tahun semenjak penghijrahannya itu. Namun, peristiwa itu masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru semalam ia berlaku. Nama Justin Lee telah pun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah dalam hidupnya. Kini, dia telah menjadi Daniel Yusuf Lee Abdullah. Setiap kali, dia teringat akan peristiwa itu, air mata pasti bergenang di kelopak matanya. Dia akui bukan mudah untuk melalui semuanya. Namun, dicekalkan juga hatinya untuk menempuhi hari-hari yang mendatang dengan penuh tabah.

GADIS ISTIMEWA

'Daniel! Awak mengelamun, ya?' suara lembut si gadis menyapa gegendang telinganya. Gadis manis yang bertudung itu tersenyum kecil tatkala menghampirinya.

'Oh, awak Zulaikha. Mana ada saya mengelamun? Saya sebenarnya sedang mengambil anginlah,' balasnya kembali.

Gadis kecil molek itu tidak berkata apa-apa. Matanya yang bundar turut sama menghayati alam sekitar yang indah.

Nur Zulaikha. Gadis manis ini dikenalinya sewaktu dia baru memeluk Islam. Gadis inilah yang banyak membantunya. Dijelaskan kepadanya beberapa perkara penting tentang Islam yang kurang difahaminya. Bagi dirinya, gadis ini cukup istimewa.

Di kala Mamanya seolah-olah membuang dirinya daripada hidupnya, gadis itu yang ada dan menenangkan dirinya. Gadis itu jugalah yang banyak menasihatinya agar banyak berdoa agar suatu hari nanti hati ibunya akan terbuka untuk menerimanya kembali. Gadis itu sentiasa ada menemani hari- harinya yang sepi.

Sedang asyik menghayati pemandangan yang mengasyikkan itu, gadis itu bersuara.

'Daniel, awak pernah tak mempunyai seseorang yang pernah rapat dengan awak tetapi tidak lagi kini?'

Daniel mengangguk.

'Ada. Seperti yang saya pernah beritahu awak Ika, semenjak saya memeluk Islam, ibu saya sendiri telah memutuskan hubungannya dengan saya. Kenapa awak bertanya begitu Ika? Awak ada masalah ya?' ujarnya lembut.

'Entahlah. Tapi, saya malu dengan awak. Saya tak tahu macam mana untuk menceritakan masalah saya. Tapi, saya benar-benar keliru.'

KASIH SAUDARA

Dia melepaskan nafasnya berulang kali. Untuk mencari kekuatan diri, barangkali.

Kemudian dia menyambung, 'Abang saya. Saya buntu melihat kelakukan dia. Sering sahaja pulang lewat malam. Kadangkala, pulang dalam keadaan yang mabuk.

'Saya benar takut andai dia sudah tersasar daripada landasan Islam yang sebenar. Saya hanya mempunyai Abang Syam di dunia ini. Saya tak mahu kehilangan dia, Daniel.'

Daniel terpaku. Tidak sangka gadis itu akan meluahkan juga apa yang mengusuti fikirannya itu. Sebagai teman, dia ingin cuba membantu gadis itu. Mentelah lagi, gadis itu telah banyak membantunya.

Dia akan menasihati abang gadis itu. Insya-Allah, harapannya agar hati lelaki itu dapat dilembutkan. Disuarakan pandangannya itu kepada Zulaikha.

'Saya tak tahu bagaimana untuk berterima kasih dengan awak kerana awak sudi untuk mendengar masalah saya. Saya sudah puas menasihatinya namun hanya sia-sia sahaja. Umpama mencurah air di daun keladi. Akhirnya, saya juga yang akan dimarahinya,' luah gadis itu lagi.

'Ika, sebagai teman, saya akan mencuba untuk membantu awak. Awak jangan putus berdoa Ika. Saya percaya suatu hari nanti, hati abang awak akan dilembutkan juga. Saya akan cuba membantunya sedaya-upaya. Awak jangan bersedih ya?' kata Daniel.

Risau pula melihat gadis itu asyik bersedih sahaja.

'Ika! Nur Zulaikha! Kau ni memang tak reti bahasa kan? Kenapa kau cerita kepada teman kau tu tentang aku? Kau beritahu dia segalanya kan? Baguslah! Bilang dia lagi!

'Segalanya tentang aku yang memang jijik pada penglihatan kau. Sudah tu, aku dapat nasihat percuma pula. Berdesing telinga aku. Kenapa kau lakukan begitu Zulaikha?' kata-kata kasar yang dihamburkan oleh Abang Syam pada suatu hari menyentak lamunan Ika.

Abang memang begini. Keras hati!

'Abang! Apa yang Ika lakukan adalah untuk kebaikan abang. Ika tak punya sesiapa lagi selain Abang. Mak dan Ayah kita dah lama meninggal, bang. Kenapa Abang jadi macam ini? Kenapa Abang berubah menjadi seseorang yang Ika tak kenal lagi?'

'Ah! Diamlah! Kau apa tahu? Sudahlah, aku rasa kau pergi bilang kawan kau jangan hendak memandai untuk menasihati aku. Faham Zulaikha?' kata Abang Syam dengan sinis.

'Ika tak faham kenapa Abang Ika jadi begini. Abang sepatutnya berterima kasih sebab kita semua ambil peduli tentang Abang. Sampai bila Abang hendak jadi macam ini?'

Sesungguhnya Zulaikha malu untuk berhadapan dengan Daniel, temannya itu. Memang niat mereka baik untuk mengubah Abang Syam dan menyedarkannya namun apakan daya, hati Abang Syam masih lagi sekeras batu. Namun, mereka percaya bahawa suatu hari nanti, hati Abang Syam akan terbuka juga untuk menerima nasihat mereka.

PENGHARGAAAN BUAT TEMAN

Sedang Zulaikha asyik melayan perasaan, telefon bimbitnya berdering menandakan bahawa ada panggilan yang masuk. Zulaikha bingkas menjawab panggilan. Alangkah terperanjatnya apabila dia disuruh ke hospital dengan segera.

Ya Allah! Dugaan apa yang menimpa diriku ini? Hatinya tidak putus berdoa agar semuanya selamat.

Setibanya di hospital, seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Angeline memberitahunya akan apa yang terjadi. Air matanya merembes keluar tatkala wanita itu menghulurkan sepucuk surat.

'Zulaikha, terima kasih di atas segala-galanya. Kerana menjadi sahabat yang paling setia. Kau selalu ada bersama denganku tatkala susah dan senang. Terima kasih, wahai temanku. Warkahku kali ini agak ringkas sahaja kerana aku terpaksa bergegas ke lapangan terbang. Aku akan menyambung pelajaranku di bumi Sakura selama tiga tahun, Ika. Maafkan aku kerana tidak memberitahumu. Aku tidak mahu melihat kau sedih. Aku tahu, senyumanmu kini pudar kerana kau risau akan Abangmu.

'Percayalah Ika, kita telah mencuba yang terbaik. Kita berserah sahaja pada-NYA agar suatu hari nanti, hati Abang Syam akan dilembutkan juga. Insya-Allah. Ika, beritahu kepada Mamaku bahawa aku amat menyayanginya. Tiada apa yang dapat menandingi kasih sayang yang aku beri kepadanya. Sekian, Daniel Yusuf Lee Abdullah.'

Daniel Yusuf Lee Abdullah. Temanku itu memang baik. Dia berkorban untuk aku. Daniel telah menyelamatkan nyawa Abang Syam. Dia dipukul teruk apabila mencuba untuk menyelamatkan Abang Syam daripada kumpulan samseng itu.

Daniel! Hanya sekalung doa yang dapat aku kirimkan buatmu. Semoga Abang Syam berubah. Rasanya, kata-kataku ini tidak akan dapat menandingi rasa penghargaanku terhadapmu. Terima kasih, wahai teman...
--------------------------------------------------------------------------------
KOMEN PENGELOLA

Kekuatan Cerpen

1. Pertama kali, pengelola menerima cerpen hasil karya dua pelajar. Syabas kerana mempamerkan kerjasama yang baik dalam menghasilkan cerpen yang indah dibaca. Pembaca lain juga boleh bergabung tenaga dengan teman anda untuk menghasilkan cerpen.

2. Penggunaan bahasa yang indah, jelas dan deskriptif.

3. Jalan cerita yang menarik, bagaikan mampu disulam menjadi skrip filem remaja yang menarik.

Apa yang boleh diperbaiki

1. Plotnya mudah tetapi kesudahannya bagai penamat mengejut yang tiba-tiba dikenalkan untuk menamatkan cerpen. Kemungkinan konflik boleh disisipkan untuk menambah kehangatan cerpen ini.

2. Tidak banyak yang disentuh tentang kemelut di hati ibu (Angeline) yang anaknya menukar agama. Mungkin aspek ini boleh dikupas lebih mendalam.

with loves.

← Older / ♥ back up ♥ / Newer →
Liaa Amaliah