Biar hati ini mencintaimu

POSTED ON: Friday, July 9, 2010 @ 9:05 PM | 0 comments

Kata sang pujangga, hati tak pernah menipu kerana dia tidak reti untuk menidakkan dan menafikan apa yang dia rasa. Apa yang mungkin menafikan sesuatu, adalah persepsi seseorang terhadap yang lain. Dan dari mana persepsi ini hadir? Dari minda yang sering memikirkan sesuatu secara rasional berbanding hati. Jadi, mungkin selalu, minda yang rasional itulah yang akan menyesakkan jiwa dengan menafikan apa yang dirasa oleh hati. Oleh itu, seseorang akan merasakan bahawa hatinya menipu dirinya sendiri? Begitukah?




Sebab itulah apa yang dirasakan oleh hati akan terpancar di wajah dan bersinar di mata. Wajah yang akan mengukirkan reaksi spontan apa yang dirasai hati.



Aku sendiri keliru. Yang aku tahu, hati adalah sesuatu yang terlalu rumit untuk difikirkan. Persoalan mengenainya tidak akan pernah selesai. Kerana pada hakikatnya, setiap masa kita akan menilai apa dan sesiapa yang berada di sekeliling kita. Dan penilaian adalah berdasarkan persepsi. Kita melihat seseorang melalui kaca mata kita. Jadi, penilaian yang kita lakukan mungkin tidak sama dengan penilaian orang lain. Kadang-kadang mungkin tersilap pandang, kut.



Benarlah kata orang, kalau sesuatu ada di depan mata, saat semua orang sedang asyik melihatnya, kita tunggu dan kita buat endah tak endah. Sebab kita fikir sesuatu itu sama seperti apa-apa perkara yang lain. Mungkin hanya sedikit perbezaan. Tetapi tiada yang istimewa. Namun, apabila sesuatu itu hilang dari pandangan, saat itulah baru kita tercari-cari di manakah hilangnya sesuatu itu. Kita jadi kalut dalam kehidupan. Dan rasa seolah-olah kita kehilangan. Barulah kita tahu, bahawa tak semua yang ada kini akan hadir lagi sampai bila-bila. Mungkin Tuhan saja menguji untuk lihat bahawa adakah kehilangannya memberi kesan pada kita. Namun, harus redha agar tak terlalu kecewa…



Seperti malam. Ya, malam yang kita hadapi setiap hari. Yang melaburkan tirainya saat matahari yang bersinar dengan gah tenggelam di kala senja menjelang. Bulan akan hadir membisikkan seribu kesyahduan. Dan seperti sesuatu yang hilang itu, bulan dan bintang yang menghiasi dada langit hanya hadir buat seketika. Hanya sekejap cuma. Belum puas kita dapat bermanja dan menikmatinya, matahari hadir lagi. Begitulah lumrah. Tiada apa pun yang kekal kecuali NYA.



Aku juga kadangkala, tidak dapat tidak, ada juga tercari-cari sesuatu yang hilang. Aku tidak sedar peri pentingnya sesuatu yang hadir itu. Aku tahu tiada apa yang kekal namun tidak pula aku terfikir, aku harus hadapinya. Kehilangan. Sudah kudidik dan kuajar hati ini agar redha, namun entah mengapa hati ku ini masih lagi enggan. Terlalu degil. Seolah-olah ia memang sebati di dalam diriku yang tidak kurang degilnya. Kalau putih kataku, maka putihlah pilihanku. Tiada pilihan kedua.



Tidak mungkin rasanya, aku dapat memahami hati. Entahlah, beribu tahun lagi pun tidak mungkin aku akan dapat mengerti. Mungkin hanya aspek luarannya sahaja. Namun, apa yang terkandung di dalam hatiku sendiri aku tidak dapat menuturkannya. Terlalu banyak yang tersirat yang tidak dapat aku tulis. Andai aku diberi peluang untuk melihat isi hatiku sendiri dan mempelajari bagaimana untuk memahaminya, pastilah peluang itu tidak akan aku persia.


← Older / ♥ back up ♥ / Newer →
Liaa Amaliah